Malu merupakan satu amalan yang membawa kepada keimanan yang sungguh kuat.Bukan itu sahaja,malah ia sendiri ialah amalan yang berdiri dengan sendirinya! .Malu yang dimaksudkan di sini adalah malu untuk melakukan dosa atau perkara yang boleh menjatuhkan maruah.Sifat malu ini sebenarnya bukan sahaja disuruh dalam Islam malah ia merupakan sifat tabii manusia yang waras pemikirannya.Dalam hal ini Imam al-Nawawi telah menyebut beberapa hadis yang utama berkaitan dengan sifat malu :
Hadis pertama :
Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya: "Biarkanlah ia begitu,sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengisahkan satu keadaan yang berlaku antara dua orang sahabat Nabi.Salah seorang dari mereka telah menasihati rakannya yang mempunyai sifat malu yang agak berlebihan dari yang sepatutnya.Maka Rasulullah s.a.w yang telah mendengar perbualan mereka bersabda kepada mereka: "Biarkanlah ia begitu,sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman !" Betapa tegas dan ringkas pesanan Rasulullah s.a.w ! Walaupun kelihatannya sahabat yang menasihati itu mungkin sekadar ingin melihat saudaranya "mengurangkan" sifat malu,Rasulullah s.a.w telah menghalangnya dengan memberikan satu pesanan ringkas-malu itu sebahagian dari iman.
Hadis kedua :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Malu itu mendatangkan kebaikan semata-mata." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis kedua ini memberikan satu lagi penegasan yang amat kuat. "Malu itu tidak akan mendatangkan kecuali perkara yang baik." Malu berasaskan keimanan pasti akan membawa kebaikan kepada diri orang yang memilikinya sehinggakan Rasulullah s.a.w mengeluarkan satu penjelasan pendek yang padat dan tepat: malu itu membawa kebaikan semata-mata. Malu kepada Allah s.w.t pasti akan menjadikan diri seseorang muslim berusaha untuk memperbaiki amalan diri dan meninggalkan dosa.Malu pada manusia juga pasti akan memelihara akhlaknya daripada melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah dirinya.Jadi benarlah sabda Nabi s.a.w.: "Malu itu pasti akan mendatangkan yang baik-baik sahaja !"
Hadis ketiga :
"Rasulullah s.a.w adalah orang yang sangat pemalu melebihi pemalunya seorang gadis pingitan.Apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya maka kami dapat mengetahui melaui wajahnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini jelas memberikan gambaran yang sangat indah terhadap peribadi Rasulullah s.a.w.Salah seorang sahabat Baginda yang bernama Abu Said al-Khudri telah menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w lebih pemalu dibandingkan dengan anak dara yang malu ketika pertama kali bersendirian bersua suaminya.Sahabat juga menyatakan bahawa ketika Baginda melihat sesuatu yang tidak disukai,para sahabat akan dapat memahaminya daripada riak wajah Baginda.MasyaAllah,lihatlah betapa Rasululllah s.a.w menghiasi dirinya dengan sifat malu yang begitu tinggi sekali.Siapa lagi yang selayaknya memiliki sifat malu ini jika bukan penghulu segala manusia dan kekasih Tuhan yang Maha Agung-Rasulullah s.a.w. !
Semoga kita dikurniakan dengan sifat malu yang membawa kepada keimanan serta ketaatan kepada Allah s.w.t. Itulah yang akan membantu di akhirat kelak ketika tiada pembantu kecuali amalan dan keikhlasan::
No comments:
Post a Comment