Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W , keluarga serta para sahabat baginda. Yang indah hanya sementara,Yang abadi adalah kenangan,Yang ikhlas hanya dari hati,Yang tulus hanya dari sanubari,Tidak mudah mencari yang hilang,Tidak mudah mengejar impian,Namun yg lebih susah mempertahankan yg ada Karena walaupun tergenggam bisa terlepas juga,Ingatlah pada pepatah,"Jika kamu tidak memiliki apa yang kamu sukai,maka sukailah apa yang kamu miliki saat ini"

Wednesday, 4 May 2011

~~ JANGAN AMBIL HAK YANG BUKAN HAK KITA ~~




Islam merupakan agama yang menghormati hak individu yang lain dan amat melarang keras kita merampas dan mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Banyak sekali hadis Nabi saw yang melarang perkara ini. Antaranya ialah :

Dari Ummu Salamah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya engkau sekalian selalu mengadukan persengketaan kepadaku.... mungkini sebahagian darimu lebih pandai berhujah dari yang lain, lalu aku memutuskan untuknya seperti yang aku dengar darinya. Maka barangsiapa yang aku berikan kepadanya sesuatu yang sebenarnya adalah hak saudaranya, sebenarnya aku telah mengambil sepotong api neraka untuknya." ( Imama al-Bukhari dan Muslim)

Amat pelik apabila kita dapati ada manusia yang tamak sanggup mengambil sesuatu yang bukan miliknya seperti tanah, wang ringgit dan sebagainya. Malah mereka sanggup menipu sehingga sanggup bersumpah untuk membenarkan penipuannya. Sungguh malang mereka ini kerana terdapat satu hadis mengenai perkara ini.

Sabda Rasulullah saw bersabda :

“Sesiapa yang merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya maka sesungguhnya Allah s.w.t telah memastikan neraka untuknya dan mengharamkan untuknya syurga.” Seseorang bertanya baginda: “Walaupun benda itu sedikit wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Walaupun sebatang kayu sugi.” ( Imam Muslim)

Hadis ini amat mengerikan kerana walaupun hanya mengambil sebatang kayu sugi yang tidak bernilai pun akan menghumbankan seseorang itu ke dalam neraka dan haram memasuki syurga.. na’uzubillah.

Mungkin ada yang berkata “hadis di atas ialah merampas harta milik orang lain tetapi kalau mengambil harta kerajaan tidak mengapa…”

Ungkapan itu tidak benar. Pengambilan sesuatu yang bukan hak kita sama ada dari individu Muslim atau milik kerajaan adalah haram. Dalilnya ialah hadis-hadis yang lain riwayat daripada Umar bin Khattab r.a. beliau berkata:

“Setelah selesai peperangan Khaibar ada segolongan di antara sahabat Rasulullah s.a.w. datang menghadap kepada beliau, kemudian berkata: “Si fulan itu mati syahid, dan si fulan itu mati syahid,” sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seorang laki-laki lalu mereka berkata: “Si fulan itu juga mati syahid.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak, sama sekali tidak. Fulan itu saya lihat dimasukkan ke dalam api neraka kerana menyembunyikan sehelai selendang atau (syak perawi hadits) sehelai baju kurung (daripada harta rampasan).” ( Imam Muslim)

Lihatlah…seorang yang mati berjihad di jalan Allah pun boleh tidak terlepas dari dihumban ke dalam neraka hanya kerana dia mengambil kain selendang milik rampasan perang.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah dan jangan sekali-kali mengambil sesuatu yang bukan hak kita kerana akibatnya akan dimasukkan ke dalam neraka walaupun benda yang diambil itu bukan sesuatu yang bernilai. Semoga Allah merahmati kita dan membuang sifat tamak dari hati kita semua.

No comments:

Post a Comment